Kesyirikan Yang Bercanggah Dengan Tauhid
Pada Fahaman
Dilihat dari segi fahamannya, kesyirikan
ialah menisbahkan kuasa atau Sifat-sifat
Tuhan kepada makhluk-makhluk atau
kuasa-kuasa selain daripada Allah Tuhan
Yang Sebenarnya.
Kesyirikan bermakna menyembah yang
selain daripada Allah atau kuasa-kuasa
yang selain daripadanya; atau memuja
yang lain selain daripadanya sebagaimana
Ianya disembah dan dipuja, atau
sebagaimana IaNya dimuliakan dan
disanjungi. Ini disebutkan sebagai
syirik yang besar dan nyata (syirik
akbar atau syirik jaliy). Syirik ini
kalau orang yang berkenaan tidak
bertaubat daripadanya, ia akan
menyebabkan azab yang berkekalan.
Nau’udhu billahi min dhalik.
Syirik yang satu lagi ialah syirik kecil
atau syirik yang tersembunyi (syirik
asghar atau syirik khafy). Syirik kecil
ialah syirik dalam erti misalnya
melakukan kebaikan kerana lain daripada
berniat mencari keredhaan Tuhan,
seperti seseorang melakukan ibadat
kerana hendak mencari pengaruh; atau
memberi sedekah dengan niat supaya
disanjung dan diterima sebagai peribadi
yang mempunyai keutamaan; demikian
seterusnya; itu syirik kecil atau syirik
tersembunyi yang membatalkan pahala
amalkan dan kebajikan; ianya bukan
menyebabkan kekal dalam azab di Akhirat;
bagaimanapun ia menyebabkan amalan
menjadi sia-sia tanpa pahala, bahkan
menyebabkan azab sesuai dengan keadaan
berat atau ringannya kesalahan orang
yang berkenaan.
Dalam hubungan dengan syirik yang
sedemikian Allah menyoal dalam al-Qur’an
dalam ayat yang bermaksud: "Adakah kamu
melihat orang yang menjadikan keinginan
nafsunya sendiri (“hawahu”) sebagai
tuhan?" (Surah al-Furqan: Ayat 43).
Adapun amalan duniawi, seperti
pertukangan atau sesuatu kemahiran yang
dimiliki, bila seseorang itu melakukan
usahanya dengan baik dan bahkan
cemerlang supaya amalannya diberikan
nilaian dan prestasi yang baik, dengan
itu ianya menjadi popular, dengan itu ia
mendapat rezeki yang halal, itu tidak
termasuk ke dalam perkara keji yang
disebut di atas. Bahkan orang yang
berkenaan, kalau ia orang yang beriman,
boleh memasang niat bahawa ia sedang
melakukan kerja untuk menguatkan ekonomi
umat, untuk memberi kekuatan kepadanya,
sebagaimana yang dianjurkan oleh Ibn
al-Hajj rh dalam kitabnya yang terkenal
“al-Madkhal” itu. Bahkan ini boleh
termasuk ke dalam maksud hadith nabi
yang bererti: "Sesiapa yang menuntut
dunia yang halal kerana hendak mengelak
dirinya daripada meminta-minta dari
orang lain, kerana memenuhkan keperluan
keluarganya, dan kerana kasihan belas
kepada jirannya (dan ia membantu mereka
dengan hartanya itu), maka ia datang ke
Ahirat pada Hari Kiamat dengan wajahnya
gemilang seperti bulan pernama empat
belas hari bulan".
Seorang ahli sains yang membuat
penyelidikan membina senjata yang ampuh
yang boleh mempertahankan bangsanya
daripada diceroboh oleh pihak musuh,
dengan itu ia menjaga agamanya dan
bangsanya serta negaranya, atau ia boleh
memberi kekuatan kepada saudaranya
Muslimin dalam negeri lain supaya tidak
dianiayai oleh pihak lain, maka itu
adalah perbuatan yang paling bermakna
dalam khidmat kepada umat. Boleh
diingatkan pada zaman klasik bagaimana
al-Baghdadi rh menyebut bahawa satu
daripada golongan Ahlis-Sunnah
wal-Jama’ah yang berjasa kepada umat
yang menentukan kedudukan umat ialah
orang-orang yang menjaga sempadan negeri
umat Islam supaya tidak diceroboh oleh
musuh (“al-murabitun”). Maka maksudnya
termasuklah golongan yang menjayakan
fungsi demikian dengan mengadakan
senjata yang berkesan untuk tujuan itu.
Dengan itu maka terlaksanalah juga
suruhan dalam al-Qur’an yang bermaksud:
"Bersiap sedialah kamu bagi menghadapi
para musuh dengan pelbagai jenis
kekuatan" (Surah al-Anfal: Ayat 61)
sesuai dengan keadaan dan zaman
berkenaan; kalau pada zaman kita ini
ianya merujuk kepada kekuatan senjata
yang sesuai dengannya.
Dan tidaklah boleh dikatakan syirik
orang yang mempertahankan negara itu,
kecualilah ia menganggap negera itu
seperti Tuhan baginya! Dijauhkan Allah
dari yang demikian itu!
blog yang sangat bermanafaat,
ReplyDeletethanks for sharing.
salam amir.
ReplyDeletesatu peringatan buat kita. mudah2an kita berusaha mengelakkan diri daripada melakukan syirik. Amat besar kemurkaan Allah kepada kita jika kita menduakanNYA krn DIA amat cemburu, DIA amat menyayangi kita hamba2NYA. DIA inginkan semuanya masuk syurga, begitulah SIFAT ALLAH YANG MAHA SEGALA KEMULIAAN.